Elakkan Daripada Menggunakan Produk Tidak Berdaftar Dengan KKM

Semakin lama, semakin banyak produk kesihatan dan kecantikan yang tumbuh bak cendawan di Malaysia ini. Belum lagi produk meningkatkan daya seksual dan melegakan kesakitan kronik. Perkembangan ekonomi yang pesat dengan kepelbagaian persaingan produk kesihatan dan kecantikan banyak meningkatkan pendapatan negara khususnya.


Elakkan Daripada Menggunakan Produk Tidak Berdaftar Dengan KKM

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat lengkap berkaitan kesan sampingan yang dialami bagi membantu NPRA meningkatkan keselamatan penggunaan ubat-ubatan di Malaysia.

Elakkan Daripada Menggunakan Produk Tidak Berdaftar Dengan KKM

Maklumat lengkap yang dimaksudkan adalah, maklumat tentang:-
  1. Nama Produk
  2. Kesan sampingan yang dialami
  3. Dimana produk dibeli
  4. Sebab produk digunakan
  5. Sampel produk(untuk produk tradisional)
Dibawah ini adalah beberapa contoh kes yang pernah dilaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) diatas kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan mereka.

Kes 1

En. Danial*, 66 tahun, mengalami serangan jantung hanya satu jam selepas mengambil produk tidak berdaftar, COBRA-X, untuk meningkatkan daya seksual. Berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas baki sampel produk, ia telah dikesan mengandungi sildenafil. Sildenafil, atau lebih dikenali dengan nama Viagra®, adalah ubat farmaseutikal yang berdaftar untuk rawatan mati pucuk. Ubat ini tidak dibenarkan sebagai kandungan di dalam produk tradisional. Sebelum rawatan mati pucuk dimulakan oleh doktor, pesakit perlu dinilai untuk mengenal pasti punca masalah, dan sama ada pesakit mempunyai sebarang masalah jantung. Sildenafil tidak sesuai digunakan oleh pesakit jantung ataupun mereka yang sedang mengambil ubat sakit jantung seperti ubat nitrates. En. Danial bernasib baik kerana menerima rawatan perubatan dengan segera yang telah menyelamatkan nyawa beliau.

Kes 2
En. Abdullah*, 60 tahun, mengalami perubahan tingkah laku dalam masa dua minggu selepas mula mengambil produk tradisional tidak berdaftar, Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut untuk merawat sakit lututnya yang kronik. Produk ini dijual dengan tuntutan ia dapat merawat pelbagai jenis kesakitan. Tingkah laku En. Abdullah berubah menjadi kuat bercakap, mempunyai idea-idea yang hebat, berbelanja berlebih-lebihan, dan turut memberikan wangnya kepada orang lain. Ahli keluarganya berasa risau dan membawa beliau untuk mendapatkan rawatan psikiatri di hospital berdekatan. En. Abdullah bertuah kerana melalui pengambilan sejarah perubatan yang baik, doktor mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam produk tradisional tidak berdaftar tersebut yang menyebabkan perubahan tingkah laku beliau. Doktor tidak terus memberikan ubat tambahan untuk merawat simptom En. Abdullah, sebaliknya mengarahkan supaya penggunaan produk tidak berdaftar tersebut dihentikan secara berkala. Ujian makmal menunjukkan bahawa produk tersebut mengandungi dexamethasone – sejenis steroid yang kuat. Diagnosis muktamad untuk En. Abdullah adalah ‘euforia disebabkan pengambilan produk yang mengandungi steroid’, dan beliau pulih sepenuhnya selepas menghentikan pengambilan produk tersebut.

Kes 3
Alex*, 13 tahun, adalah seorang budak yang sihat dan cergas sebelum dia terjatuh dan terseliuh buku lali. Dia telah mendapatkan rawatan urut dan mula mengambil sejenis produk tradisional (tidak berlabel) untuk melegakan sakit badan dan bengkak kaki. Hanya tiga hari selepas itu, Alex dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Lembah Klang kerana tiba-tiba berasa sesak nafas. Pemeriksaan lanjut mendapati dia mengalami kegagalan organ jantung, hati dan buah pinggang. Doktor mengesyaki kegagalan organ ini mungkin disebabkan oleh logam berat yang terkandung di dalam produk tradisional tersebut. Ujian makmal mendapati bahawa produk tersebut dicemari dengan kandungan arsenik yang tinggi. Ini merupakan punca kegagalan organ-organ Alex.

Hargai Nyawa Anda - Pastikan Produk Berdaftar Dengan KKM

Kes-kes diatas hanyalah sebahagian kecil daripada aduan yang diterima oleh pihak NPRA berkaitan produk tidak berdaftar yang menyebabkan kesan sampingan serius termasuk kegagalan hati dan buah pinggang. Sesetengah pesakit yang terlibat pulih, namun ada yang tidak bernasib baik.

Tahukah anda? pada tahun 2014, bahan campuran yang paling kerap dikesan oleh NPRA didalam produk tidak berdaftar adalah ubat perangsang seksual, agen pelansing dan steroid.

Kita sebagai pengguna sering dikaburi mata terhadap isu penting ini disebabkan testimoni keatas kesan luar biasa yang mereka hadapi. Siapa yang tidak mahu sembuh cepat kan? kita semua nak sembuh daripada penyakit, tetapi harus difahami bahawa produk yang memberi kesan cepat mungkin mengandungi bahan campuran terlarang dan merbahaya kepada kesihatan.


Sebagai Pengguna, Apakah Tindakan Yang Perlu Kita Buat?

1. Semak kelulusan produk kecantikan, ubat tradisional atau supplement dengan cara seperti gambar dibawah atau baca artikel ini - Cara Semak Kelulusan KKM
Klik tab QUEST Products Search untuk carian kelulusan KKM
2. Dapatkan nasihat doktor, farmasi atau jururawat, semasa mendapatkan rawatan bagitau dengan mereka ubat yang pernah dimakan.

3. Produk dengan bahan semulajadi mengambil masa yang agak lama untuk memberi kesan, jika ubatan dengan bahan semulajadi memberi kelegaan dengan masa singkat, ianya mungkin mengandungi bahan berbahaya.

4. Laporkan kepada KKM :-
Produk tidak Berdaftar - Jika anda mempunyai maklumat berkaitan penjualan produk tidak berdaftar, sila hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (Tel.: 03-78413387, laman web: www.pharmacy.gov.my)
Kesan Sampingan Ubat - Jika anda mengesyaki sesuatu produk membuatkan anda berasa kurang sihat, beritahu kami! Laporkan kesan sampingan ubat melalui laman sesawang NPRA: http://npra.moh.gov.my 

Bagaimana Cara Melapor? 

Layari laman web http://npra.moh.gov.my dan klik pada tab "Report An Adverse Event" dan pilih "Consumer" atau "Healtcare Professional"..

Laporan anda mungkin boleh menyelamatkan nyawa keluarga dan orang lain!


0 comment... add one now